Ahad, 29 November 2009

HANYA MEREKA YANG BERNIAT JAHAT..?

Di manakah silapnya Biro Tata Negara (BTN) sehingga pembangkang menuduh ia perkauman dan mendera minda peserta?

Adakah kerana peserta BTN diberi motovasi yang berunsur patriotik dan sayangkan negara, maka ia didakwa perkauman?

Hanya mereka yang tidak patriotik dan tidak ada rasa sayangkan negara saja yang beranggapan begitu.

Dan adakah kerana BTN juga mengubah pengajarannya sesuai dengan selogan satu Malaysia, maka ia turut didakwa menderakan peserta?

Hanya mereka yang tidak suka melihat rakyat bersatu dan sentiasa berniat untuk memecahbelahkan rakyat saja yang beranggapan sebegitu.

Maka sebagai rakyat yang masih sayangkan bangsa dan negara, kita tidak seharusnya terpengaruh dengan pandangan songsang yang sengaja menyongsangkan pemikiran rakyat yang sayangkan negara dan cintakan perpaduan bangsa.

Jumaat, 27 November 2009

SUARA SIAPAKAH YANG GUGAT PAS..?

Pendedahan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan kononnya ada suara luar yang cuba menggugat keutuhan Pas, sebenarnya tidaklah mengejutkan. Itu lumrah dalam dunia politik.

Namun yang sejujurnya, suara luar yang dibangkitkan itu rasanya bukanlah dari UMNO/BN. Sebab UMNO/BN tak pernah kacau Pas. Cuma Pas saja yang selalu kacau UMNO, kononnya UMNO tak Islam dan macam-macam lagi kenyataan yang tidak sepatutnya.

Ternyata Pas memang benci habis terhadap UMNO, yang sesama seagama dan sebangsa dengannya. Begitulah yang terjadi dan lumrah politik hari ini.

UMNO pula tak pernah usik Pas. Walaupun Pas tuduh macam-macam terhadap UMNO. Cuma sejak akhir-akhir ini (setelah TS Muhyiddin Yassin jadi TPM), UMNO sedikit lantang menyanggah segala tuduhan Pas yang dianggap tidak berasas. Das sanggah itu perlu dibuat supaya tidak mengelirukan rakyat.

Berbalik kepada terdapatnya suara luar yang cuba menggugat Pas, sebenarnya Pas sendiri tahu siapakah pemilik suara yang dimaksudkan itu. Dan ada berbisi-bisik ia adalah suara PKR.

Rabu, 25 November 2009

SIAPA BENAR? SIAPA BERBOHONG..?

Ada dua isu yang menjadi pertanyaan mengenai kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertama, Anwar kata dia telah menghubungi Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Gua Musang itu bersetuju untuk menyertai kaukus petroleum - yang bertujuan membincangkan pembayaran royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar petroleum.

Namun Tengku Razaleigh menafikan yang dia telah memberikan persetujuan menyertai kaukus petroleum itu..

Kedua, Anwar mendakwa ceramah yang dihadirinya telah dibatalkan pihak polis setelah mengikut telunjuk UMNO. Beliau menuduh ceramah anjuran pembangkang itu dibatalkan sebagai tidak masuk akal, setelah permitnya diluluskan.

Namun Ketua Polis Daerah Kulaijaya berkata, tindakan membatalkan ceramah itu diambil kerana polis tidak pernah meluluskan permit untuk membenarkan ceramah tersebut diadakan.

Maka semua orang mungkin tertanya-tanya, kenyataan siapakah yang benar? Dan kenyataan siapa pula yang berbau pembohongan..?

Selasa, 24 November 2009

MENANTU VS MERTUA - 2 (CERITA DONGENG YANG NYATA)

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kata, fitnah menjadi punca dia menyuruh menantuanya, Ariffahmi meletakkan jawatan sebagai CEO PMBK. Bukan kerana siasatan SPRM.

"Biarlah SPRM buat kerja dia," katanya.

Sebenarnya Nik Aziz sendiri yang meletakkan dirinya pada fitnah. Kerana melantik menantunya sendiri sebagai orang besar dalam PMBK itu.

Sebagai seorang yang beriman, sepatutnya Nik Aziz sedaya upaya menjauhkan dirinya dari segala fitnah, tohmahan atau apa-apa saja yang berkaitan dengannya. Menjadi orang penting dalam kerajaan juga, sepatutnya beliau bukan saja bersikap bersih, malah sepatutnya sentiasa dilihat bersih.

Bagaimanapun, segala yang berlaku telah berlaku. SPRM sudah siasat untuk menjalankan tugasnya.

Semoga terpancar sedikit pengajaran kepada semua.

Jumaat, 13 November 2009

MENANTU VS MERTUA (CERITA DONGENG YANG BERDENGUNG..!)

Al-kisah, maka tersebutlah sebuah cerita mengenai sang menantu dan sang pak mertuanya yang disebut-sebut oleh ramai orang semenjak dua menjak ini.

Adapun sang menantu dituduh salah guna kuasa. Pak Mertuanya pula dikhabarkan nak pergi naik haji dengan wang tajaan. Khabarnya lagi adapun ia sebenarnya akan ditaja oleh syarikat yang ada kepentingan mengenai projek-projek negeri yang diperintah oleh si Pak Mertua.

Akan tetapi, khabar terbaru yang tersebar adalah dimaklumkan bahawa si Pak Mertua tak jadi pergi naik haji. Alasannya, sebab bosan mengenai kisah tajaan pemergiannya itu diheboh-hebohkan oleh media.

Mengikut jurucakap yang disuruh bercakap, adapun si Pak Mertua itu kononnya tak senang hati kerana perkara kecil (kisah tajaannya itu) yang sengaja dibesar-besarkan.

Alahai..! Perkara kecil? Ditaja oleh pihak yang ada kepentingan itu dianggap perkara kecil? Pilih menantu sendiri jadi pegawai dalam syarikat negeri yang dikuasainya juga pun perkara kecil juga?

Mungkin betul juga itu perkara kecil. Sebab itulah pihak terbabit yang menyiasat mengatakan ia tiada kes mengenai pelantikan menantunya itu yang dibuat sendiri.

Alahai..., untungnya dia..! Kalaulah orang dari pihak lawan yang melakukan perbuatan yang sama, rasanya sudah lama ia menjadi berita besar dan sudah tentu juga ada yang terkena... kena dakwa dan naik turun mahkamah.

Maka sebab itulah juga orang dari parti lawan si Pak Mentua tak berani nak ungkit-ungkit perkara pilih menantu sendiri jadi pegawai besar itu. Alahai..., malang sungguh kiranya dirasakan ada orang yang bodoh dalam cerita ini. Orang lain dapat untung walaupun dengan cara yang mengelirukan, namun ada pulak manusia yang bodoh dan tak reti nak pekenakan lawan yang melakukan perkara yang tidak betul itu.

Maka tak perlulah nak cerita panjang... berakhirlah sudah sebuah cerita dongeng yang berdengung... dan mungkin tak lama akan dengungannya itu.

Selasa, 10 November 2009

ALAHAI... SUNGGUH KELIRU, LAGI AMAT MENGELIRUKAN..!

Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan yang Pas mengenakan sumpah bai'ah yang menjatuhkan talak tiga terhadap isteri para pemimpinnya, terutama mereka yang bertanding menjadi calon pilihan raya.

Kata Nik Aziz, semua itu fitnah daripada mereka yang dengki terhadap Pas, yang kononnya semakin bangkit dan mendapat kepercayaan rakyat. Tak ada lain lagi, mungkin UMNO yang menjadi mangsa tuduhan berkaitan itu, seperti yang dibangkit seorang wakil Pas di Parlimen tempoh hari.

Apa yang sebenarnya, memang sebelum ini ada beberapa orang wakil rakyat Pas yang mengaku ada sumpahan bai'ah itu berlaku. Dan ada juga yang mengaku bahawa mereka sendiri pernah mengangkat sumpah itu semasa dilantik menjadi calon pilihan raya. Malah tak dengar pula cerita kononnya orang UMNO yang campur tangan atau yang jadi penyebar cerita itu.

Persoalannya, yang mana satu betul ni? Penafian Nik Aziz atau pengakuan pemimpin-pemimpin Pas itu?

Atau adakah sumpah bai'ah itu cuma dikenakan kepada pemimpin-peminpin di negeri-negeri tertentu saja? Di Kelantan mungkin sumpah yang mencagarkan isteri dengan talak tiga itu tidak berlaku agaknya. Sebab itu Nik Aziz tak tahu.

Alahai... sungguh keliru, lagi amat mengelirukan..!

Sabtu, 7 November 2009

PARTI LEBIH PENTING DARI AGAMA..?

Bai'ah - sumpah taat setia akan jatuh talak tiga terhadap isteri mana-mana pemimpin Pas yang mengkhianati - berhenti atau keluar parti.

Itulah antara isi kandungan ikrar untuk mengelak berlakunya penyelewengan kepada parti.

Tidak salah rasanya jika ada bijak pandai yang berpendapat bahawa 'ikrar' itu sebenarnya melampau. Apa tidaknya, disebabkan pentingkan parti, selain mengheretkan institusi kekeluargaan bergelumang ke kancah politik, malah hukum agama juga sanggup dilibatkan.

Ternyata mereka lebih sayangkan parti daripada sayangkan isteri (kekeluargaan) yang dinikahi atas nama Allah.

Bukankah isteri itu kurniaan Allah kepada seseorang insan, yang dinikahinya perlu mengikut rukun-rukun yang ditetapkan agama? Sedang menyertai atau menjadi pemimpin sesebuah parti itu bukannya diwajibkan oleh Allah. Manusia yang menubuhkan sesebuah parti itu demi kepentingan politik.

Logikkah jika mewajibkan meletakkan partii lebih penting dari isteri, sehingga sanggup berikrar jatuh talak tiga terhadap isteri jika berpaling tadah terhadap parti?

Kalau 'ikrar' itu dilakukan untuk mengelakkan penyelewengan pemimpin-pemimpin parti, maka tidakkah 'ikrar' itu sendiri menunjukkan ia suatu penyelewengan terhadap sesuatu yang wajib?

Fikir-fikirkanlah..!

___________________________________________________


HAIWAN PUN TAHU BERSOPAN

Sungguh kurang sopan. Itulah gelagat sebahagian penyokong pasukan Kelantan di Stadium Bukit Jalil malam tadi.

Ternyata mereka itu biadap yang melampau. Kurang ilmu dan tarbiah diri.

Gelagat kurang bermoral di tempat sendiri berterusan di bawa ke tempat orang.

Sedikit pun mereka tiada rasa segan silu terhadap YM Pemangku Raja mereka sendiri. Yang mungkin baginda pula yang turut merasa malu dengan perbuatan sebilangan mereka itu.

Maka benarlah seperti yang dikata, 'Perangai manusia tidak ada dalam kelompok haiwan. Tapi perangai haiwan banyak terdapat dalam kelompok manusia.'

Renung-renungkanlah..!