Ahad, 31 Mei 2009

YANG TERSURAT DAN TERSIRAT

Di bawah ini merupakan beberapa petikan daripada rencana yang ditulis oleh sdr Zulkiflee Bakar (Mingguan Malaysia - 31 Mei 2009).

Apa yang menarik dalam hujahnya bagi 'menghalalkan' langkahnya untuk bertanding, Husam menegaskan, keputusan muktamad itu dibuat kerana wujud keperluan semasa yang mendesak bagi menyemak peringkat tertentu dalam Pas termasuk berhubung isu mengadakan kerjasama dengan UMNO.

"Saya berpendirian sudah sampai masa Pas berusaha menggantikan tempat UMNO sebagai teraju utama politik negara dan ini hanya boleh dilakukan dengan parti ini menjadi pesaing UMNO dan bukan rakan dalam apa bentuk ikatan," tegas Husam.

Sebenarnya Husam terlupa bahawa kelompok yang benar-benar membenci UMNO sehingga tidak boleh duduk semeja berbincang ialah PKR bukan Pas, ini kerana PKR ditubuhkan atas dasar dendam dan benci akibat apa yang berlaku kepada Anwar. Oleh itu dengan hujah Husam tersebut apakah ia bermakna beliau sendiripun sudah terpengaruh dengan politik sempit yang dibawa oleh PKR? Hanya Allah maha mengetahui.

Penulis sebenarnya tidak berhasrat mempertikaikan niat Husam kerana dari satu sudut penulis berpendapat tidak salah untuk Husam menegaskan bahawa masa sudah tiba Pas menjadi parti bagi menggantikan UMNO. Tetapi soalnya, mampukah Pas berada pada kedudukan itu atau akan terus diperkotak-katikkan oleh DAP dan PKR seperti mana berlaku sekarang di Perak dan Selangor?
(Sumber: Mingguan Malaysia).

Khamis, 28 Mei 2009

CHIN PENG - ISU MERAIH SOKONGAN POLITIK?

Majoriti rakyat sebenarnya tidak setuju jika Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia, terutama bekas pejuang yang terpaksa bertarung nyawa mempertahankan negara, dan ada antara mereka yang masih hidup dengan menanggung kecacatan sepanjang hayat, serta mereka yang berkait secara langsung tentang kekejaman komunis.

Chin Peng - ketua Parti Komunis Malaya yang penuh dengan keganasan dan kekejaman, membuatkan rakyat sentiasa hidup dalam huru-hara dan ketakutan. Malah orang awam tidak terkecuali menjadi mangsa kezalimannya.

Namun tentu ada yang tidak senang bila beberapa pemimpin pembangkang (Melayu) yang setuju andainya bekas ketua komunis itu dibenarkan pulang dengan alasan-alasan tertentu.

Walaupun apa alasannya, saranan dan sokongan pemimpin Melayu pembangkang itu dilihat sengaja meraih sokongan politik berkaitan isu itu, yang sebenarnya telah mengguriskan hati banyak pihak, terutama Melayu.

Cuba direnungkan sejenak. Apakah untungnya Chin Peng kepada negara, jika dia dibawa pulang? Rasanya tiada keistimewaan apa-apa.

Jika dibenarkan juga dia pulang, apa yang nyata ia bukan sekadar luka lama berdarah kembali, malah ia sebagai satu penghinaan kepada para pejuang yang pernah mempertahankan kedaulatan negara.

Namun memang telah diketahui umum, bagi mereka yang berkepentingan politik murahan, itu semua tidak penting.

Apa saja yang mendatangkan kepentingan politik mereka, sekalipun mengguris dan menyakiti hati bangsa sendiri, langsung tidak diambil peduli.

Dan isu yang mengguriskan hati bangsa itu bukanlah yang pertama kali. Malah rasanya sudah tidak terhitung.

Isnin, 25 Mei 2009

MOGOK LAPAR PUBLISITI MURAHAN

Mogok lapar anjuran DAP selama tiga hari, bermula Selasa hingga Khamis ini akan tetap diteruskan. Tujuannya adalah mendesak pembubaran DUN Perak.

Datuk Husam MUsa mempertahankan rancangan pakatan pembangkang itu. "Mogok lapar adalah satu trend untuk menyatakan protes, yang diterima semua budaya di seluruh dunia," katanya.

Katanya lagi, "Kalau kita kata berpuasa, mungkin UMNO tak kisah. Tetapi kalau sebut mogok lapar, UMNO terkejut, sebab itu mufti bersuara."

Ulasan: Kenapa Husam kaitkan mogok lapar anjuran DAP dan disokong pakatan pembangkang lain itu dengan UMNO? Hinggakan katanya, dia saja tak sebut puasa( yang berkaitan mogok lapar) dan sengaja sebut mogok lapar sebab nak suruh UMNO terkejut?

Apa tujuannya nak suruh UMNO terkejut? Maka terkejutkah UMNO? Rasanya UMNO tak hairan kot.


Kata Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pula, pihak terlibat hanya mahu mencari publisiti murahan dan berharap pihak media tidak memberi ruang kepada mereka.

Beliau yang kesal dengan tindakan itu berkata, tindakan pakatan pembangkang itu hanya akan mencemarkan imej negara.

Namun dengan nada sinisnya Datuk Ibrahim Ali berkata lagi, "Kita mengalu-alukan tindakan mereka. Tapi jika mereka mahu buat mogok lapar, pastikan mereka buat sampai mati. Nanti kita akan tabur bunga kepada mereka sebagai pahlawan demokrasi."

Ahad, 24 Mei 2009

KERISAUAN YANG AMAT

Sejak akhir-akhir ini terdapat pertubuhan politik, NGO dan pelbagai pertubuhan lagi yang seakan-akan tidak menghormati undang-undang dan pemerintah.

Golongan mereka itu tidak rasa takut melakukan sesuatu yang melanggari undang-undang, malah sanggup pula mengeluarkan kata-kata yang berupa ugutan kepada pemerintah.

Tidak terfikirkah oleh mereka, disebabkan beberapa tindakan mereka itu akan menimbulkan pelbagai masalah kepada orang lain?

Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan yang bijak pandai. Tapi di manakah letakkan kebijaksanaan mereka, jika mereka lakukan sesuatu sehingga menyusahkan dan membimbangkan orang lain?

Jangan kerana mereka sekadar memikirkan mereka saja yang betul, sehingga sanggup pula menafikan hak kedamaian dan keselesaan orang lain.

Situasi sedemikian amat merisaukan. Ia sedikit sebanyak akan menjejaskan kestabilan negara, yang berkemungkinan akan membabitkan perkara-perkara lain yang berkaitan situasi semasa, yang mana akhirnya rakyat juga tercalit dan terbeban dengan permasalahan itu.

Sesungguhnya apa yang berlaku itu amat merisaukan rakyat yang mencintakan kedamaian dan keselesaan yang dialam selama ini.

Kalau sayangkan negara, hindarilah daripada melakukan sesuatu yang akhirnya rakyat juga yang menanggung kesusahan dan mencemaskan.

Janganlah terlalu bertindak yang bukan-bukan, yang merugikan bangsa dan banyak pihak lain.

Cintailah kedamaian. Hargainya keselesaan.

Bersyukurlah dengan apa yang dimiliki. Semoga Tuhan lebih memberkati!

Jumaat, 22 Mei 2009

FAKTA KEMENANGAN ZAMBRY

Antara fakta/alasan penghakiman mengenai kemenangan DS Zambry sebagai MB Perak yang sah oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 22-5-2009 dalam satu keputusan sebulat suara panel tiga hakim ialah:


# Hakim Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas telah gagal menilai dengan betul dan secukupnya kesemua keterangan sehingga membuat keputusan salah.

Persoalannya: Macam mana seorang hakim gagal menilai kesemua keterangan sehingga membuat keputusan yang salah? Sepatutnya kekhilafan tidak harus berlaku yang dilihat adanya kelemahan penghakiman.


# Sultan Perak bertindak betul dengan bertanya sendiri untuk memuaskan hati baginda bahawa responden (Mohammad Nizar) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti.

Persoalannya: Jika Sultan bertindak betul, kenapa perlu dipertikaikan dan di bawa ke mahkamah?


# Keputusan sama ada untuk membenarkan atau tidak permohonan pembubaran DUN adalah dalam bidang kuasa Sultan.

# Tidak ada syarat mandatori dalam perlembagaan Perak bahawa usul undi tidak percaya perlu dibentangkan terhadap responden sebelum keputusan dibuat bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti dalam DUN.

Kalau kesemua di atas didapati betul atas segala tindakan yang sudah dibuat, tidak seharusnya ia dipertikaikan lagi dan seharusnya tidak perlu diterima sebarang rayuan yang bertujuan membetulkan pihak yang sudah kalah dan menyalahkan kembali pihak yang sudah disahkan menang.

Jangan disebabkan ingin berkuasa, undang-undang terus diperkotak-katikkan.

Pihak-pihak yang berwajib yang berkaitan perundangan, perlu bersuara dengan penjelasan yang betul dan patut demi kebenaran agar tidak timbul lagi isu yang membabitkan perundangan yang dianggap sesuatu yang boleh dipermudahkan oleh golongan yang berkepentingan dengan mengenepikan saluran-saluran perundangan yang betul dan sepatutnya.


SUDAH LEGA ATAU MASIH BELUM LEGA?

Dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya yang berpihak kepada Zambry, sebenarnya masih belum memberikan kelegaan kepada BN.

Jika segala penjelasan/alasan penghakiman tiga hakim Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada Zambry masih mampu dan boleh dipertikaikan, BN sebenarnya masih belum berkedudukan selesa. Sedangkan Nizar sudah bertekad untuk membuat susulan ke mahkamah kerana tidak berpuas hati dengan jeputusan terbaru itu.

BN tetap tidak mahu bubarkan DUN.

Jika BN adakan undi tidak percaya terhadap Nizar dengan izin speaker M. Ganasen, yang mungkin akan berpihak kepada BN. Tapi Sivakumar pula pasti akan membawanya ke mahkamah kononnya pelantikan Ganesenn sebagai speaker tidak sah. Sampai bila akan selesai?

Andainya pembangkang menang dengan rayuannya nanti, mahukan pembangkang bubarkan DUN jika ia dituntut oleh BN?.

Jika pembangkang berasa berat hati berbuat demikian, apatah lagui BN yang sudah termaktub majoriti berpaihak padanya.

Jadi, tepuk kepala tanyalah akal.

ZAMBRY MB PERAK YANG SAH

Tahniah kepada DS Zambry yang disahkan sebagai MB perak. Selesai sudah hendaknya segala kemelut yang melanda DUN Perak.

Keputusan telah diputuskan oleh panel tiga hakim.

Sepatutnya begitulah keputusan dari awal lagi. Namun keputusan terdahulu agak meragukan. Kerana telah terbukti majoriti yang berpihak kepada BN. Sudah terang dan nyata. Sudah terang yang tak perlu bersuluh lagi.

Walaupun keputusan terdahulu agak meragukan, namun BN tak buat demontrasi jalanan untuk membantah keputusan hakim. BN buat secara beradap dan berurus. Ikut undang-undang jikalau cara itu yang mereka mahukan.

Keputusan terbaru ternyata berpihak kepada yang benar. Tiga panel hakim sudah buat keputusan.

Tapi pahat yang sentiasa berbunyi akan tetap berbunyi jika tak puas hati. Orang yang suka menyalak akan tetap menyalak selagi sesuatu yang diinginkan tak berpihak kepada mereka. Selagi tak memuaskan nafsu mereka.

Rabu, 20 Mei 2009

PAS DAN RASUAH

Datuk Seri Haji Hadi berkata, tiada amalan politik wang dalam Pas.

Begitu keputusan mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat selepas mendengar penjelasan daripada Ketua Dewan Ulama Pas, mengenai amalan memberi hadiah kepada perwakilan menjelang pemilihan parti itu.

Beliau berkata, amalan berkenaan tidak berlaku kerana usaha pihak tertentu untuk menembusi bahtera Pas melalui politik kotor seperti itu sebelum ini telah gagal,

Seboleh-bolehnya Pas memang cuba menafikan dari tercalit kekotoran itu. Yang dikhuatiri bukan politik wang, tapi politik kebendaan (selain wang). Kalau tak ada, alhamdulillah. Takut sekadar cover line aje.


HINDRAF DAN PROTES JALANAN

"Tindak-tanduk biadap Hindraf jika tidak dihentikan segera dikhuatiri akan membawa kepada permasalahan keselamatan negara yang lebih besar". Begitu kebimbangan yang diluahkan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Katanya, "Hindraf ini satu kumpulan kecil rakyat Malaysia yang rasa diri mereka cukup hebat, mereka rasa jika dibakar pun tak hangus, mereka rasa kebal dari segi undang-undang dan mereka buat macam-macam manakala kita majoriti rakyat sedang melihat sahaja"

Malah Datuk Ibrahim Ali juga melahirkan kebimbangannya kepada Ketua Polis Negara dan Timbalannya, hahawa jangan sampai rakyat lain juga tidak menghormati undang-undang dan kalau ini berlaku maknanya negara ini tidak akan selamat.

Rakyat yang cintakan kedamaian, tak ingin melihat huru-hara terus berlaku. Kenapa yang dilarang itu perlu dilakukan? Jangan letakkan rakyat dalam suasana kebimbangan.
Jika berdegil, ketegasan pihak berwajib diperlukan.

Isnin, 18 Mei 2009

BN TAK MINAT PENANTI

Tak sangka pulak aku kenapa BN tak minat nak cuba 'meminang' Penanti.

Agaknya Penanti bukan lagi anak dara. Dah bekas janda. Sebab itulah agaknya BN tawar hati. Hilang selera.

Atau BN dah dapat agak 'peminangannya' kali ini akan gagal juga setelah gagal memiliki Penanti sebelum ini.

Tak ada jawapan yang pasti. BN tak minat Penanti sebab takut peminangannya tak diterima atau sengaja nak lihat janda tu terlepas ke tangan orang lain yang juga sedara-mara suaminya dulu.

Apa-apa pun dah keputusannya begitu. Begitulah juga jawapannya.

Maka tak adalah jodoh BN dan Penanti. Mungkin lain kali ada jodoh mereka kot...

Sabtu, 16 Mei 2009

KEMELUT POLITIK PERAK

APA LAGI JALAN PENYELESAIANNYA..?

Penyelesaian politik di Perak - pembangkang minta diadakan semula pilihan raya. Memang itu satu cara yang dapat memutuskannya. Tapi harus diingat juga bahawa ia bukan satu keperluan atau kemestian.

Pembangkang mahu pilihan raya diadakan semula kerana mereka terlalu yakin yang kemenangan pastinya berpihak kepada mereka. Malah mereka rasakan itu saja cara yang berkemungkinan akan menguntungkan mereka, walaupun secara jelasnya mereka telah tewas.

Tapi dari segi logiknya, pilihan raya semula tak perlu diadakan kerana situasi terkini sudah jelas lagi nyata bahawa kelebihan kerusi DUN telah berpihak kepada Barisan Nasional (BN) apabila keputusannya ialah PR (28) manalaka BN (28+3).

Dengan kelebihan itu seharusnya BN telah menguasai DUN Perak. Apa lagi yang harus dipersoalkan?

Disebabkan PR Telah dapat nafas baru dengan keputusan mahkamah rayuan yang memberikan kemenangan kepadanya seketika, mereka telah rasakan kebenaran di pihak mereka. Alasan mahkamah kerana Nizar tidak disingkirkan melalui undi tidak percaya di DUN.

Persoalannya, selagi Sivakumar sebagai speaker, mahukan dia mengadakan undi tidak percaya kepada Nizar? Apatah lagi sikapnya yang sentiasa berpihak kepada PR.

Jalan penyelesaian utama kepada krisis politik di DUN Perak ialah dengan mengadakan undi tak percaya kepada MB terdahulu. Walaupun cara ini cuba dielak dan ditepis bermati-matian oleh PR kerana mereka tahu mereka pasti akan kalah, tapi BN harus lebih tegas dan gunakanlah ia dengan bijaksana.

Membubarkan DUN, jika BN setuju, bukan saja membazirkan wang dan menyusahkan rakyat, malah jika BN lakukan juga bermakna BN sebuah parti yang sememangnya tidak cerdik. Sengaja mencari masalah disebalik sikap yang tidak cerdik itu. Parti yang diterajui mereka yang kurang cerdik, lama kelamaan penyokongnya akan lari.

Disebabkan terdapatnya beberapa tindakan tidak cerdik oleh BN/UMNO sebelum ini, ia sentiasa membuka ruang untuk pembangkang menegakkan benang basahnya, menyebabkan pembangkang cuba mempertikainya sesuatu yang sememangnya patut BN/UMNO pertahankan dan banyak lagi yang cuba diperkotak-katikkan oleh pembangkang. Maka apa saja tindakan/kepetusan yang dirasakan tidak cerdik, harus dihentikan.

Berbalik kepada kemelut semasa ini, kalau PR berada di tempat BN, mahukan mereka membubarkan DUN atau bermati-matian mempertahankannya?

BN yang sewajarnya telah sedar bahawa majoriti yang telah pun berpihak kepada mereka, dan wajib mempertahankannya dan tidak mudah mengalah dengan tidak bertempat.

Jumaat, 15 Mei 2009

DESAKAN KEMBALIKAN BIASISWA BUMIPUTERA

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu kerajaan bersikap tegas dengan mengembalikan sepenuhnya hak biasiswa Bumiputera.

Tegas Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, langkah itu wajar agar kepentingan Bumiputera sentiasa terpelihara seperti yang termaktub dalam perlembagaan,

Tambahnya lagi, UMNO akan kehilangan sokongan orang Melayu sepenuhnya jika terus bertolak ansur.

"Jika kerajaan tidak hormati hak istimewa orang Melayu, Perkasa juga akan mula turun ke jalan raya macam pertubuhan haram Hindraf," katanya.

Katanya, jika kena ISA pun tidak lama, akan dibebaskan dan tidak payah berterima kasih.

Tambah Ibrahim, ramai anak Melayu kini layak dapat biasiswa, namun tidak menerima biasiswa tersebut.

*Sebenarnya, UMNO dah tersepit dengan sikap orang Melayu sendiri. Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Kalau tak ditelan, maka emak, bapak dan dengan anak sekali akan mampus.

Dan apa yang berlaku sejak dua menjak ini adalah kerana sikap Melayu juga. Sikap Melayu yang banyak mendorong kerajaan terpaksa beralah dengan tuntutan-tuntutan pihak tertentu yang gemar ambil kesempatan apabila pihak satu lagi yang semakin lemah.

Maka, Melayu tak payah nak bising-bising lagi. Terimalah apa saja yang akan berlaku dan terus berlaku dengan penafian hak mereka selepas ini dan seterusnya.

Kalau dah terhantuk pun, belajar-belajarlah berubat sendiri...

Khamis, 14 Mei 2009

KALAU DAH GILA KUASA, KOPIAH DI KEPALA BUKAN HALANGANNYA.

Perebutan kuasa dalam Pas makin ketara. Hingga ada individu sanggup berikan 'hadiah' (rasuah?) kepada perwakilan untuk mendapat sokongan.

Situasi tidak sihat itu diakui sendiri oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi.

Cerita dan susur galurnya mudah saja untuk dibaca dan diteka.

Dahulu Pas tidak kuat. Mereka yang masuk Pas, sebilangannya sebagai protes kepada kerajaan. Kerana bencikan pemerintah. Ahli-ahli mereka tak ada angan-angan nak jadi pemimpin tertinggi dalam negara. Mereka tak pernah terfikir hingga ke kabinet ketika itu. Kerana mereka sedar setakat mana kemampuan Pas.

Kini mereka merasakan Pas sudah semakin kuat. Lebih-lebih lagi bila Pas bergabung dengan DAP dan PKR. Berpandukan PRU 12 lalu, sebilangan ahli Pas mula membuka mata. Mereka mula ternampak lorong yang dulunya samar-samar sudah semakin terang. Yang mana berkemungkinan pembangkang ada peluang untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas PRU 13 nanti.

Jadi, ahli-ahli yang ada angan-angan untuk menjadi Menteri, Timbalan Menteri atau apa saja jawatan tertinggi dalam kabinet, mula menjalankan strategi mereka. Kopiah dan serba di simpan tepi. Halal haram tak jadi pertimbangan lagi. Yang penting mencapaikan hasrat terbuku di hati.

Selagi namanya manusia, selagi berkepentingan nafsu mendahului akal, tak akan terkecuali mereka Pas atau UMNO. Perangainya tetap sama. Walaupun tidak semuanya sebegitu.

Selagi bernama manusia juga, akan terbukti dan terungkit juga sebagaimana 'kata dulang paku serpih'.

Apa-apa pun, sama-samalah kita tunggu dan lihat. Adakah yang terbaru lebih hebat lagi dari yang terdahulu seandainya kuasa berpihak kepada mereka.

BERSEMANGAT PUN BIARLAH BERTEMPAT...

DS Dr Zambry, dapat masuk semula ke pejabatnya, setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya untuk menangguhkan keputusan mahkamah terdahulu.

Bukan main bersemangat lagi Zambry nak buat kerja. Bersemangat tu memanglah bagus. Rakyat memang memerlukan pemimpin yang sebegitu dan tahu buat kerja, terutama demi kepentingan rakyat dan negeri.

Tapi, bersemangat pun kenalah bertempat juga. Janganlah kerana bersemangat 'besar' lagi berkobar-kobar, yang terlintas di kepala pun projek-projek yang besar-besar juga dalam masa terdekat ini. Bukankah keputusan siapa yang sah jadi MB sebenar masih jadi tanda tanya.

Mana yang sesuai didahulukan, itulah yang patut diutamakan.

Jadi tak usahlah dulu buat keputusan yang besar-besar, yang agak jauh dengan kepentingan kebanyakan rakyat. Simpan dulu hasrat tu. Bila dah benar-benar jadi MB nanti, cadang dan buatlah projek sebesar mana pun. Kuasa dah betul-betul dalam genggaman.

Dalam waktu terdekat dan tersingkat ini, buatlah sesuatu keputusan yang lebih memberikan faedah kepada rakyat kebanyakan dulu. Selesaikan masalah yang berkaitan dengan rakyat, yang selama ini mungkin terlalu membebankan dalam kehidupan seharian rakyak.

Rabu, 13 Mei 2009

KEMELUT BERTERUSAN POLITIK PERAK

PERLUKAH BN MENGALAH DAN BERKORBAN..?

Semua akhbar pembangkang dan hampir kesemua akhbar Cina menyalahkan Barisan Nasional (BN) dengan kemelut politik di Perak yang berterusan itu.

Petikan dari akhbar Cina yang berbunyi; "Untuk mempertahankan kuasa kerajaan negeri itu (Perak), BN melakukan satu kesalahan besar. Walaupun kewangan BN sangat kukuh, apakah ia terus menerus membiarkannya terbuang begitu sahaja? Sehingga semakin parah, sukar mahu diselamatkan lagi?

"Kuasa pemerintahan negeri Perak memang sayang nak dilepaskan, tapi pengorbanan yang tinggi terpaksa dicurahkan. Apatah lagi pihak lawan juga terlalu banyak menghabiskan duit kita.

"BN menanggung begitu berat beban tapi tak mahu melepaskannya, akhirnya mungkinkan ia menjadi gejala buruk yang akan mengancam kerajaan pusat?"

Persoalannya, kenapa BN yang mesti dipersalahkan dan seharusnya berkorban untuk mengembalikan kejernihan politik di Perak? Kenapa tiada cadangan supaya pihak pembangkang juga perlu menginsafi diri dengan keputusan majoriti yang sudah pun berpihak kepada BN?

BN bukan saja layak dari segi majoriti, malah terlalu layak dari segi kemampuan tenaga wakil rakyatnya, pun begitu juga dengan kemampuan kewangan.

Kalau pembangkang yang memerintahkan pun, apa kemampuan wakil rakyat mereka? Sudahnya kerajaan pusat juga yang kena bantu.

Apa-apa pun, kemelut yang semakin melalut itu perlu diselesaikan segera demi kepentingan rakyat dan negara keseluruhannya. Malah ia tidak seharusnya berterusan dengan politik berbalas-balas yang menjadi 'bahan uji-kaji sebagai satu perkara baru yang unik' di mata mahkamah.

Maka perihal demokrasi yang sudah tercemar serta tercalar dan institusi raja-raja yang turut tercabar kerana keghairahan pihak tertentu untuk menunjukkan kuasa dan terus berdegil itu, perlu dipulihkan kembali.

Dengan itu, peruntukan-peruntukan tertentu dalam perlembagaan yang berkaitan undang-undang perihal pelantikan dan pelucutan jawatan Menteri Besar yang sudah jelas dan nyata itu harus menjadi panduan pihak-pihak terlibat.

Selasa, 12 Mei 2009

HASRAT NIZAR TAK TERGAPAI, BN YANG TAK KISAH...

"Khidmat Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md.Shahid pula akan digantung serta-merta,"

Itu antara kenyataan DS Mohammad Nizar sebaik selesai keputusan Mahkamah Isnin lepas.

Mungkin sikap atau tindakan Penasihat Undang-Undang itu ada yang tak berkenan di hati Nizar, maka itulah antara tindakan yang terlintas di kepalanya sekiranya dia menang.

Tapi sayang.., walaupun menang dengan keputusan mahkamah, hasrat Nizar itu tak tercapai juga kerana dia tak ada kuasa menggantung pegawai kerajaan yang dilantik kerajaan pusat, sebagaimana kenyataan KSN. Lagi pun Nizar juga tak terdaya nak buat tindakan itu, kerana MB Perak masih kekal milik DS Zambry setelah rayuan DS Zambry diperkenankan mahkamah.

Sebenarnya kalau Nizar nak gantung tugas sesiapa pun di bawah kerajaan tadbirannya, itu hak dia. Lagi pun dia tahu dia tak dapat nak kerja dengan orang itu. Mungkin juga orang yang dia tak suka itu baginya adalah musuh dalam selimut. Jadi takkan dia nak bekerjasama dengan musuhnya pula.

Lainlah dengan BN yang tak pernah kisah semua itu. Walaupun mereka tahu ada musuh dalam selimut (pro pembangkang) yang berkhidmat dengan mereka. Mereka tak pernah nak ambil tindakan apa-apa. Mungkin nak tunjuk baik... tak nak dituduh zalim, nak tunjuk cool konon, tak suka menyusahkan orang.

Mungkin juga BN rasa mereka boleh handle semua itu, dan musuh itu akan ikut rentak mereka juga, sebab mereka rasa mereka yang bijak pandai dan serba tahu. Sudahnya, musuh itulah yang mendatangkan bala dan petaka kepada BN.

Soalnya bukan bersikap zalim atau apa-apa tanggapan lagi. Yang penting, BN kena peka dengan persekitaran, yang sesuatu masalah itu mungkin akan berbalik kepada mereka, yang berpunca dari musuh dalam selimut itu. Musuh perlu dibunuh sebelum musuh itu bertindak membunuh. Namanya pun musuh. Takkan ada musuh yang baik pula. Musuh akan bertindak apa saja untuk kepentingan mereka sendiri.

Takkan BN tak pernah sedar terdapat sebilangan penjawat awam yang pro pembangkang, dari jawatan bawahan hinggalah ke jawatan tertinggi yang berkuasa membuat sesuatu keputusan. Mereka itulah sebenarnya musuh dalam selimut yang mensabotaj dengan tindakan-tindakan mereka yang terlalu banyak menyusahkan rakyat yang berurusan dengan mereka. Bermacam-macam kerenah yang menyulitkan rakyat.

Kerana mereka, rakyat menjadi benci, marah, geram, sakit hati dan pendendam.

Tempias tindakan rakyat yang memberontak itu adalah kepada kerajaan yang memerintah. Kerana sebilangan penjawat awam yang bersikap buruk perangai dan tak amanah, kerajaan BN yang dipersalahkan.

Maka, dengan kebencian rakyat yang berterusan itu, adalah antara yang menjadi punca kerajaan BN terhukum pada PRU 12 lalu, mungkin setelah lama rakyat bersabar dan memendam rasa.

Adakah kerajaan BN kisahkan semua itu?

Bagi kerajaan BN mungkin semua itu perkara remeh dan terpencil.

Remeh dan terpencil? Kalau itulah sikap dan tanggapan mereka, maka bersedialah BN untuk menerima hukuman sekali lagi dengan menjadi parti yang 'terpencil' pada PRU 13 akan datang.




Isnin, 11 Mei 2009

TAHNIAH BUAT NIZAR

TERPADAM SEKETIKA KECELARUAN DUN PERAK

Mahkamah sudah buat keputusan. DS Nizar sah sebagai Menteri Besar Perak. Tahniah.

Maka terpadamlah seketika kecacamarbaan dan kecelaruan DUN Perak. Kecelaruan yang bermula selepas PRU 12, setelah BN tertewas di Perak. Kecelaruan juga sebenarnya bermula disebabkan tindakan yang tidak cerdik oleh UMNO/BN, yang begitu mudah melepaskan kuasanya kepada pakatan pembangkang.

(Adakah BN boleh/patut menyerahkan bulat-bulat kuasa mereka itu. Tidakkah boleh dilakukan penangguhan? Atau terdapat cara lain yang boleh dijadikan penangguhan, yang dilihat tidak sebegitu mudah menyerahkan tampuk pemerintahan, atau sehingga diadakan undi tidak percaya ke atas MB Perak yang sedia ada? Sebab yang menang itu bukanlah parti gabungan yang sah yang mencukupkan undi untuk berkuasa.) (Sekadar pendapat peribadi).

Tapi disebabkan UMNO/BN sebuah parti yang tidak terdesak, mereka tidak mahu panjangkan masalah. Mereka mengalah dengan gentleman. Kalah dikira tetap kalah. Pemimpinnya sentiasa bersedia dan redha dengan apa yang berlaku.

Berbalik kepada keputusan mahkamah yang memberikan kemenangan kepada Nizar. Keputusan mahkamah adalah disebabkan penyingkiran Nizar dibuat secara tidak sah. Sepatutnya diadakan dulu undi tidak percaya terhadapnya sebelum Zambry jadi MB Perak.

Tapi kenapa begitu jadinya? Di manakah orang yang bijak pandai dalam ilmuan kepolitikan dan segala pakar yang ada dalam UMNO/BN? Sehingga tindakan mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada Nizar oleh DS Dr Zambry itu sebenarnya tidak betul sehingga terbuktinya tidak sah?

Dan jika pelantikan Zambry yang diperakukan oleh kuasa Sultan, sebagaimana yang sedia termaktub dalam perlembagaan itu dikira sah, kenapa isu pelantikan Zambry itu masih juga boleh dibawa ke mahkamah? Dan mahkamah pula ada dengan keputusannya tersendiri?

Di manakah sebenarnya yang tidak kena? Atau terdapatkah kesilapan di mana-mana dalam setiap perlembagaan yang sedia ada atau perundangan negara atau terlepas pandang oleh mana-mana pihak supaya perkara itu tidak terus berlanjutan.


Persoalan lagi, kenapakah tiada nasihat yang sempurna daripada bijak pandai dalam UMNO/BN, yang sepatutnya diadakan undi tidak percaya terlebih dahulu ke atas Nizar, sebelum Zambry dilantik sebagai MB Perak?

Jika itu satu kesilapan atau kelalaian, kenapa kesilapan dan kelalaian itu boleh berlaku dalam situasi yang UMNO/BN dikatakan dianggotai manusia yang serba bijak dengan pelbagai keilmuan?

Rupa-rupanya, (mungkin) ramai yang tidak boleh diharap yang dipilih sebagai orang penting dan diberikan kepercayaan, yang (mungkin) menyebabkan selama ini banyak menyalurkan nasihat/maklumat yang tidak berapa betul kepada pihak atasan.

Dan tidak mustahil, berkemungkinan keadaan itu juga antara yang menjadi penyebab atau punca UMNO/BN hilang kepercayaan sebilangan rakyat, sehingga tertumbangnya beberapa buah negeri ke tangan pembangkang pada PRU 12 lalu.

Seharusnya UMNO/BN perlu bijak menangani setiap perkara yang berkaitan dengan rakyat dan perundangan. Kerana zaman UMNO/BN (kerajaan) serba bijak dan serba tahu sudah berlalu sebagaimana yang diakui PM sendiri.

Kebijaksanaan rakyat dalam menilai apa yang dibuat UMNO/BN (kerajaan) dan kepakaran ahli-ahli pembangkang dalam permainan politik untuk menawan dan menarik keyakinan rakyat terhadap kemampuana mereka berpolitik untuk rakyat seharusnya tidak dipandang remeh.


Awaslah UMNO/BN..! Awas sebelum sesuatu yang lebih buruk akan menimpa, yang puncanya mungkin disebabkan mereka yang dipilih sebagai orang penting dan diberikan kepercayaan dalam UMNO/BN sebenarnya tidak boleh diharap.

Bagaimanapun, harap-harap itu tidaklah berlaku lagi selepas pemerintahan baru di bawah pimpinan DS Najib.

Jadi, berubahlah diri sendiri terlebih dahulu sebelum minda dan keyakinan rakyat mahu diubah.

Berbalik soal politik di Perak. Adakah segala permasalahan politik DUN Perak akan selesai sesudah Nizar disahkan sebagai MB Perak? Rasa-rasanya belum tentu lagi.

Sebab keputusan yang diputuskan mahkamah adalah soal pemecatan Nizar sebagai MB Perak didapati tidak sah. Kerana sepatutnya diadakan dulu undi tidak percaya ke atas Nizar, sebelum Zambry dilantik MB.

Jadi, tidak mustahil kecacamarbaan dan kecelaruan di DUN Perak boleh berlaku lagi. Kerana tidak diketahui berapa lama tempohnya yang sempat Nizar menduduki takhta MB Perak sebelum BN mengadakan undi tidak percaya terhadapnya.

Dan setelah undi tidak percaya diadakan ke atas Nizar, maka mahukah dia berundur dengan keredhaan dan seikhlas hati atau sekadar berundur untuk ke mahkamah lagi? Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

Berdoalah semoga segala kecacamarbaan dan kecelaruan politik di DUN Perak yang menyusahkan rakyat tidak akan berterusan sehingga ke PRU 13 nanti.

Sabtu, 9 Mei 2009

CACARMARBA SEBUAH NEGERI YANG CELARU

Sebuah negeri yang pernah tergelar Negeri Pasir Dua Butir, dalam negara yang dipanggil Pasir Berdengung itu, semakin cacarmarba, celaru dan haru-biru situasinya.

Bukan saja akta perlembagaan yang cuba ditentang, malah keputusan mahkamah juga turut cuba disanggah dan dibantah.

Demokrasi perlembagaan bagaikan sudah tiadaK bermakna, jika apa yang sudah sedia termaktub masih cuba diperkotak-katikkan. Juga sewenang-wenangnya boleh dibawa ke mahkamah untuk diadilkan. Di mananakah kedaulatan undang-undang..?

Pun jika sesuatu keputusan mahkamah di Negara Pasir Berdengung itu tidak menyebelahi mereka yang kononnya bertegas atas demokrasi dan pilihan rakyat, mereka akan mendakwa sesuatu keputusan itu tidak sah. Atau ada agenda politik pemerintah di sebaliknya.

Sesungguahnya begitu mudah dan selesanya mulut mereka mempertikaikan setiap keputusan mahkamah. Sebab seboleh-bolehnya apa saja keputusan mahkamah atau apa saja keputusan-keputusan lain, biarlah menyebelahi dan berpihak kepada mereka saja. Barulah adil namanya. Jika keputusan menyebelahi pihak lain, dakwa mereka kononnya sudah tiada lagi keadilan di negara Pasir Berdengung itu.

Pernah bertanya seorang rakan, kenapa mereka yang pernah membuat kenyataan bahawa sesuatu keputusan mahkamah itu tidak sah (atau mempertikaikan keputusan mahkamah) dengan membuat kenyataan media, sedangkan mahkamah telah tetap dengan keputusannya, kenapa tiada tindakan sewajarnya diambil?

Adakah itu tandanya semakin bercelaru dan cacarmarbanya stuasi di sebuah negara yang pasirnya semakin berdengung itu?

Berkata seorang rakan lain pula, kebelakang ini juga jelas kelihatan bahawa pihak penentang pemerintah kerajaan Pasir Berdengung seoalah-olah lebih kebal dari segi perundangan jika dibandingkan dengan pihak pemerintah Pasir Berdengung itu sendri. Nampaknya pihak pemerintah Pasir Berdengung saja yang patut dikenakan tindakan atas apa saja yang dilihat tersilap atau bersalah.

Jika terdapat pihak penentang dikenakan tindakan atas setiap kesalahan yang dapat dibuktikan, mereka akan mendakwa ia adalah komplot kerajaan pemerintah untuk memburuk-burukkan mereka di mata rakyat.

Dan pihak penentang pula dilihat sebagai pihak yang kononnya telah diberi tanggungjawab oleh rakyat untuk mencari kesalahan kerajaan Pasir Berdengung dan menghukum pemerintah dan kuncu-kuncunya walaupun mereka sekadar dilihat dan disangka bersalah, apatah lagi jika benar-benar bersalah.

Rakyat juga seolah-olah telah diberikan keyakinan oleh pihak penentang kerajaan bahawa kerajaan Pasir Berdengung sejak dulu hingga kini telah dikuasai oleh mereka yang amalkan rasuah yang melampau dan menggunakan kuasa hanya untuk kepentingan diri.

Begitulah hebatnya pihak penentang kerajaan di Negara Pasir Berdengung jika dibandingkan dengan pihak yang memerintah kerajaan Negara Pasir Berdengung itu sendiri. Setiap kata mereka begitu mudah dipercayaai dan meyakinkan rakyat.

Agaknya sesuai dengan namanya kerajaan Pasir Bedengung, maka setiap rakyatnya begitu mudah berdengung jika ada sesuatu yang cuba didengungkan oleh pihak-pihak yang suka berdengung.

Begitulah seadanya cerita cacarmarba di sebuah negara Pasir Berdengung yang entah sampai bila agaknya akan berdengung, yang membuatkan sebilangan rakyatnya semakin tongong dan bingung.

Rabu, 6 Mei 2009

GHAIRAH GOLONGAN TERTENTU DALAM PAS

Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya membina penguasaannya dalam Pas. Itulah hasrat sebenarnya sejak dia dipecat dati UMNO.

Kejayaan Anwar itu telah terbukti dengan beberapa orang kepercayaannya telah memegang beberapa jawatan penting dalam Pas. Sebab itulah sejak kebelakangan ini timbul golongan ulamak, profesional dan Erdogan dalam Pas. Golongan Erdogan adalah golongan yang dikaitkan dengan Anwar.

Benar atau tidak, tidaklah diketahui bahawa orang-orang Pas tidak sedar dengan apa yang telah dirancangkan dengan begitu rapi oleh Anwar itu, kerana cara penyusupannya begitu bijak. Hanya orang-orang tertentu saja yang tahu dan menyedarinya, namun mereka menganggapnya sebagai kebiasaan setelah Pas bergabung dengan PKR pada PRU12 lalu.

Dan kini setelah terbongkar segala-galanya setelah dilaporkan beberapa kali oleh akhbar tertentu, apakah riaksi orang-orang terpenting dalam Pas? Adakah mereka mengakuinya atau akan membuat penafian, kerana mereka telah diumpan dengan hasrat yang istimewa iaitu sebilangan mereka akan dipilih sebagai menteri kanan sekiranya pakatan pembangkang memerintah, sebagaimana yang diuar-uarkan oleh penasihat PKR. Ditambah pula dengan tujuan utama mereka ialah untuk menumbangkan UMNO/BN.

Dikatakan, golongan tertentu dalam Pas itu tidak peduli apa akan terjadi dalam Pas. Apatah lagi mereka yang berangan-angan tinggi untuk menjadi menteri/menteri kanan itu. Dan angan tinggi mereka semakin melambung dan mereka terus menaruh kepercayaan sejak terciptanya 'Impian 16 September' , walaupun semuanya telah terkubur.

Namun dengan anganan yang masih cekal dan timbul pula tarikh lain yang dikatakan sesuai untuk mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional, masih ramai antara mereka yang bercita-cita tinggi itu mempercayai tujuan itu akan tercapai jua.

Ahad, 3 Mei 2009

APA HAL DOKTOR..?

Dilaporkan seramai 236 lulusan bidang perubatan yang menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian di luar negara.

Tenaga profesional itu sebaliknya bertindak untuk berkhidmat di luar negara berikutan tawaran gajinya yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.

Apa hal doktor? Beginikah sikap manusia profesional? Yang tidak tahu mengenang budi mementingkan diri sendiri?

Isu doktor yang tamat pengajian di luar negara dan tak mahu pulang ke Malaysia kerana memburu gaji yang lebih lumayan, walaupun mereka mendapat biasiswa kerajaan memang sudah lama.

Apakah pihak berwajib sekadar mengeluh dan membuat kenyataan saja, sedangkan tiada tindakan susulan yang sesuai mengikut perjanjian terhadap mereka yang 'menderhaka' itu?

Hampir RM1 juta bagi menyara setiap seorang untuk bergelar doktor bukanlah satu perbelanjaan yang kecil. Tetapi begitu mudah sekali mereka itu memperkecilkan hasrat kerajaan dan rakyat.

Seharusnya tindakan sewajarnya perlu diambil, sama ada ke atas keluarga atau penjamin mereka.

Kerajaan seharusnya tidak memandang remeh atau tutup sebelah mata, walaupun yang terlibat itu mungkin ramai anak-anak orang ternama termasuk anak-anak menteri, timbalan menteri atau pegawai-pegawai kanan kerajaan sendiri. Bertindak seharusnya tidak memilih bulu. Mereka yang salah harus dihukum.

Bertindaklah atas kewajaran agar isu sebegini tidak diperlekehkan oleh 'doktor-doktor' yang hipokrit yang tidak mengenang budi dan tidak mahu memikirkan masalah orang lain kerana keegoan tersendiri, sedangkan mereka bergelar doktor kerana perbelanjaan duit rakyat.

Sekali lagi ditekankan, kerajaan seharusnya bertindak. Cari dan buru mereka, keluarga mereka dan penjamin mereka.

Doktor-doktor sebegitu tidak seharusnya dibiarkan bersenang lenang di atas kesusahan dan keikhlasan hati orang lain. Buru dan kejar mereka walaupun hingga ke lubang cacing.

Jika ada kelemahan dari segi perjanjian antara peminjam dan kerajaan yang sedia ada, dan jika ia perlu diubah supaya lebih efsien demi kepentingan rakyat dan kerajaan yang mengeluarkan biasiswa untuk mereka, pindalah dengan segera agar perkara yang sama tidak berulang dan peminjam tidak menganggapnya sebagai enteng.

Bagi doktor-doktor yang terlibat, insaflah dengan sikap anda. Tepuk dada dan tanyalah kewarasan fikiran anda. Jadilah manusia yang tahu mengenang budi dan jasa. Jangan jadikan diri anda sebagai manusia hipokrit yang dilaknat dan dibenci.