Isnin, 11 Mei 2009

TAHNIAH BUAT NIZAR

TERPADAM SEKETIKA KECELARUAN DUN PERAK

Mahkamah sudah buat keputusan. DS Nizar sah sebagai Menteri Besar Perak. Tahniah.

Maka terpadamlah seketika kecacamarbaan dan kecelaruan DUN Perak. Kecelaruan yang bermula selepas PRU 12, setelah BN tertewas di Perak. Kecelaruan juga sebenarnya bermula disebabkan tindakan yang tidak cerdik oleh UMNO/BN, yang begitu mudah melepaskan kuasanya kepada pakatan pembangkang.

(Adakah BN boleh/patut menyerahkan bulat-bulat kuasa mereka itu. Tidakkah boleh dilakukan penangguhan? Atau terdapat cara lain yang boleh dijadikan penangguhan, yang dilihat tidak sebegitu mudah menyerahkan tampuk pemerintahan, atau sehingga diadakan undi tidak percaya ke atas MB Perak yang sedia ada? Sebab yang menang itu bukanlah parti gabungan yang sah yang mencukupkan undi untuk berkuasa.) (Sekadar pendapat peribadi).

Tapi disebabkan UMNO/BN sebuah parti yang tidak terdesak, mereka tidak mahu panjangkan masalah. Mereka mengalah dengan gentleman. Kalah dikira tetap kalah. Pemimpinnya sentiasa bersedia dan redha dengan apa yang berlaku.

Berbalik kepada keputusan mahkamah yang memberikan kemenangan kepada Nizar. Keputusan mahkamah adalah disebabkan penyingkiran Nizar dibuat secara tidak sah. Sepatutnya diadakan dulu undi tidak percaya terhadapnya sebelum Zambry jadi MB Perak.

Tapi kenapa begitu jadinya? Di manakah orang yang bijak pandai dalam ilmuan kepolitikan dan segala pakar yang ada dalam UMNO/BN? Sehingga tindakan mengambil alih jawatan Menteri Besar daripada Nizar oleh DS Dr Zambry itu sebenarnya tidak betul sehingga terbuktinya tidak sah?

Dan jika pelantikan Zambry yang diperakukan oleh kuasa Sultan, sebagaimana yang sedia termaktub dalam perlembagaan itu dikira sah, kenapa isu pelantikan Zambry itu masih juga boleh dibawa ke mahkamah? Dan mahkamah pula ada dengan keputusannya tersendiri?

Di manakah sebenarnya yang tidak kena? Atau terdapatkah kesilapan di mana-mana dalam setiap perlembagaan yang sedia ada atau perundangan negara atau terlepas pandang oleh mana-mana pihak supaya perkara itu tidak terus berlanjutan.


Persoalan lagi, kenapakah tiada nasihat yang sempurna daripada bijak pandai dalam UMNO/BN, yang sepatutnya diadakan undi tidak percaya terlebih dahulu ke atas Nizar, sebelum Zambry dilantik sebagai MB Perak?

Jika itu satu kesilapan atau kelalaian, kenapa kesilapan dan kelalaian itu boleh berlaku dalam situasi yang UMNO/BN dikatakan dianggotai manusia yang serba bijak dengan pelbagai keilmuan?

Rupa-rupanya, (mungkin) ramai yang tidak boleh diharap yang dipilih sebagai orang penting dan diberikan kepercayaan, yang (mungkin) menyebabkan selama ini banyak menyalurkan nasihat/maklumat yang tidak berapa betul kepada pihak atasan.

Dan tidak mustahil, berkemungkinan keadaan itu juga antara yang menjadi penyebab atau punca UMNO/BN hilang kepercayaan sebilangan rakyat, sehingga tertumbangnya beberapa buah negeri ke tangan pembangkang pada PRU 12 lalu.

Seharusnya UMNO/BN perlu bijak menangani setiap perkara yang berkaitan dengan rakyat dan perundangan. Kerana zaman UMNO/BN (kerajaan) serba bijak dan serba tahu sudah berlalu sebagaimana yang diakui PM sendiri.

Kebijaksanaan rakyat dalam menilai apa yang dibuat UMNO/BN (kerajaan) dan kepakaran ahli-ahli pembangkang dalam permainan politik untuk menawan dan menarik keyakinan rakyat terhadap kemampuana mereka berpolitik untuk rakyat seharusnya tidak dipandang remeh.


Awaslah UMNO/BN..! Awas sebelum sesuatu yang lebih buruk akan menimpa, yang puncanya mungkin disebabkan mereka yang dipilih sebagai orang penting dan diberikan kepercayaan dalam UMNO/BN sebenarnya tidak boleh diharap.

Bagaimanapun, harap-harap itu tidaklah berlaku lagi selepas pemerintahan baru di bawah pimpinan DS Najib.

Jadi, berubahlah diri sendiri terlebih dahulu sebelum minda dan keyakinan rakyat mahu diubah.

Berbalik soal politik di Perak. Adakah segala permasalahan politik DUN Perak akan selesai sesudah Nizar disahkan sebagai MB Perak? Rasa-rasanya belum tentu lagi.

Sebab keputusan yang diputuskan mahkamah adalah soal pemecatan Nizar sebagai MB Perak didapati tidak sah. Kerana sepatutnya diadakan dulu undi tidak percaya ke atas Nizar, sebelum Zambry dilantik MB.

Jadi, tidak mustahil kecacamarbaan dan kecelaruan di DUN Perak boleh berlaku lagi. Kerana tidak diketahui berapa lama tempohnya yang sempat Nizar menduduki takhta MB Perak sebelum BN mengadakan undi tidak percaya terhadapnya.

Dan setelah undi tidak percaya diadakan ke atas Nizar, maka mahukah dia berundur dengan keredhaan dan seikhlas hati atau sekadar berundur untuk ke mahkamah lagi? Sama-samalah kita tunggu dan lihat.

Berdoalah semoga segala kecacamarbaan dan kecelaruan politik di DUN Perak yang menyusahkan rakyat tidak akan berterusan sehingga ke PRU 13 nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan