Selasa, 31 Mac 2009

TENTANG GLC

Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang baru berlalu, ada perwakilan yang menegur Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), yang didakwa tidak banyak membantu usahawan Bumiputera. Mungkin juga benar apa yang disuarakan itu.

Tetapi di sini ingin disentuh mengenai derma/sumbangan atau majlis amal yang kerap dilakukan GLC tertentu.

Sumbangan amal yang dilakukan oleh GLC adalah baik untuk membantu golongan yang memerlukan. Tetapi apa yang diperhatikan GLC tertentu hanya banyak beramal dan menyumbang di negeri-negeri tertentu sahaja. Keadaan itu berlaku mungkin CEO atau top men dalam GLC tertentu itu berasal dari negeri terbabit.

Apa yang diperhatikan juga, banyak sumbangan amal dari GLC tertentu, hanya tertumpu pada negeri-negeri tertentu yang diperintah pembangkang. Walaupun mungkin top-top men dalam GLC terbabit berasal dari berkenaan, namun rakyat negeri-negeri lain yang lebih memerlukan, perlu juga diberikan perhatian.

GLC sebagai syarikat yang dimiliki kerajaan pemerintah, seharusnya lebih berat tertumpu sumbangan mereka kepada neger-negeri yang diperintah kerajaan pemerintah. Kerana itu merupakan sebahagian pembalasan atau penghargaan kepada rakyat yang memilih kerajaan untuk terus memerintah di negeri mereka.

Walaupun GLC dikatakan tiada kaitan dengan politik. Namun dengan politik pemerintahlah GLC itu tertubuh. Orang yang berkenaan dalam GLC seharusnya juga selari dengan hasrat kerajaan dalam membantu rakyat yang menyokong kerajaan.

Nampak remeh, namun besar nilai dan manfaatnya kepada mereka yang tahu menilai dan mengenang budi.

Kerajaan seharusnya memantau keadaan tersebut.

Suara Bebas.

Isnin, 30 Mac 2009

PELUANG PERUBAHAN

Jelas lagi nyata. Keputusan PRU 12 yang lalu adalah bukti protes rakyat yang menolak BN. Hasilnya, empat negeri yang selama ini adalah kubu kuat BN terlepas ke tangan pembangkang.

Mungkin banyak sebab dan alasan kenapa rakyat menolak BN pada pilihan raya itu. Terlalu banyak untuk dihuraikan, dan kerajaan BN sendiri mungkin telah mengetahui punca-puncanya.

Namun semua itu telah setahun berlalu. Kerajaan BN telah menerima padahnya. Dan mereka juga sedar di mana silapnya. Dan kita juga harapkan begitulah. Mereka sedar dan bangkit dengan rasa kesedaran untuk membina azam dan semangat baru dengan memahami kehendak rayat.

Mungkin rakyat yang bertindak memprotes itu telah berpuas hati dengan tindakan mereka.

Maka pada pilihan raya kecil sama ada di Bukit Selambau, Bukit Gantang atau Batang Ai, diharapkan rakyat akan memberi peluang kepada BN untuk membetulkan kesilapan mereka.

PRU 12 yagng lalu biarlah berlalu. Begitu juga dengan dua pilihan raya kecil sebelum ini, yang memberikan kemenangan kepada pembangkang, juga telah berlalu.

Maka pada pilihan raya kecil kali ini, biarlah menjadi pintu keinsafan dan pintu taubat bagi BN untuk menebus kelemahan mereka.

Selamat mengundi dengan hati terbuka untuk mencari perubahan yang nyata.
__________________________________________________

PR TAK BERDAFTAR

Pakatan Rakyat (PR) disahkan tidak berdaftar dengan SPR. Maka dengan sendirinya nama itu tidak diiktirafkan oleh SPR. Maknanya, jika di situ terdapat calon PKR yang bertanding, maka DAP dan Pas tak dibenarkan berkempen.

Maksud tak dibenarkan berkempen, maknanya parti lain daripada yang bertanding tak boleh berkempen dengan menggunakan simbol mereka. Hanya parti bertanding saja yang dibenarkan berkempen menggunakan simbol mereka.

Mungkin ahli-ahli daripada parti lain boleh berkempen selagi di muka atau di dahi mereka tiada bertanda simbol parti-parti yang dilarang itu.

Selamat berkempen...

Berkempenlah dengan berhemah, jangan berkempen macam tak bermaruah.

Berkempenlah dengan senonoh, jangan berkempen macam sampah.

Berkempenlah dengan beradap, jangan berkempen ikut sedap.

Berkempenlah dengan bermoral, jangan berkempen macam kera.

Berkempenlah dengan sopan, jangan berkempen macam setan...!



Ahad, 29 Mac 2009

RAKYAT - PARTI - KERAJAAN

*Kata DS Najib, konsep parti menguasai kerajaan ditambah dengan komponen rakyat. Parti memahami denyut hati rakyat. Diterjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan oleh kerajaan. Apabila kerajaan dikuasai oleh parti melaksanakan kehendak rakyat, UMNO jadi gagah perkasa.
________________________


*DS Najib meminta semua pihak menilainya berdasarkan tindakan selepas mengambil alih tugas sebagai PM dan bukannya khabar angin dan tuduhan liar yang berniat jahat. Katanya, semua itu kerja pembangkang demi kepentingan politik mereka.

"Insya-Allah kita akan uruskan dan kita tahu bagaimana nak buat sebab ia tidak benar, berniat jahat dan tidak berasas," tegas DS Najib.
________________________


*Khairy Jamaluddin perlu berusaha memenangi kepercayaan ahli Pergerakan Pemuda UMNO yang dketuainya supaya beliau dapat diterima sepenuhnya selepas ini. Persoalan mengenai penerimaan terhadap Khairy timbul apabila beliau beberapa kali kena 'boo' semasa namanya disebut pada Perhimpunan Agung UMNO.
_________________________

Jumaat, 27 Mac 2009

BIARLAH 90 PERATUS MUKA BARU

Sekadar cadangan.
Biarlah kabinet baru DS Najib nanti 90 peratus muka baru dari MT dan yang berkebolehan.

Walaupun mereka yang terpilih dalam MT, tetapi pernah kalah bertanding PRU 12 lalu, seharusnya tidak diberikan keutamaan. Maknanya mereka itu telah ditolak oleh rakyat.

DS Najib kena tunjuk kemampuannya bermula dari memilih ahli-ahli kabinet baru sehinggalah merealisasikannya sebagai Presiden UMNO/BN yang betul-betul berkebolehan dan berkaliber sebagaimana yang dikehendaki rakyat.

Pilihlah anggota-anggota yang terbaik dan berkebolehan. Itu keghendak rakyat. Bukannya memilih mereka yang 'terbaik' dari kalangan UMNO sendiri. Sebab kuasa memilih pemerintah di tangan rakyat.

Tersilap memilih, ia akan ditolak oleh rakyat. Bila ditolak rakyat, bermakna padah masih menanti masa depan UMNO/BN.

Mudah-mudahan DS Najib mampu mengubahnya.

Rabu, 25 Mac 2009

PERALIHAN MASA SUKAR

Secara kebetulan atau sudah ketentuan?

Walaupun apa pun jawapannya, peralihan jawatan Ketua Pemuda UMNO sejak berpindah tangan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan kini beralih kepada YB Khairy Jamaluddin, kedua-dua terpaksa bertarung pada masa kesukaran.

Pada masa Hishammuddin, beliau mengambil alih sebagai pemangku Ketua Pemuda UMNO selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melepaskan jawatan tersebut. Pada ketika itu boleh dikatakan penuh kegetiran, kerana UMNO berhadapan dengan krisis politik yang amat berat, selepas tercetusnya pelbagai masalah berikutan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kini jawatan Ketua Pemuda UMNO yang disandang oleh Khairy Jamaluddin, yang dijangkakan tugas barunya itu bukan mudah, apatah lagi beliau mewarisi kepimpinan Pemuda ketika tuntutan begitu mendesak bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO selepas PRU 12.

Apa-apa pun, sesiapa yang memberanikan diri untuk bertanding merebut apa juga jawatan, bermakna mereka sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab yang berkaitan dengan jawatan berkaitan.

Berjuanglah, dan realisasikanlah segala yang dirancangkan demi kebaikan bangsa, agama dan tanah air.

TAHNIAH KJ & SHARIZAT

Tahniah Khairy Jamaluddin berjaya menyandang Ketua Pemuda UMNO baru.
Tapi ramai orang tak suka walaupun dalam UMNO sendiri. Mereka kata KJ kaki rasuah. Dah pernah kena warning oleh Lembaga Disiplin, masih juga diterima dalam UMNO. Hancurlah UMNO.

Dengar kata, Pas lagi tak suka bila KJ menang. Bukan kerana KJ kaki rasuah, tapi Pas tak senang duduk kerana kelantangan KJ yang boleh menggegarkan Pas. Tu sebab Pas sebolehnya tak suka KJ memang.

Tahniah juga buat Ketua Wanita UMNO yang baru, Sharizat Jalil.

Ada yang kata Sharizat menang sebab beliau popular dalam Wanita UMNO. Sedangkan rakyat tak terima beliau. Buktinya, sebab itulah beliau kalah dalam PRU 12 lalu.

Ah Politik ni macam-macam. Fitnah memfitnah memang biasa. Cantas mencantas lagilah biasa. Dan dah jadi kebiasaan.

Isnin, 23 Mac 2009

SELAMAT BERHIMPUN

Selamat berhimpun dan bersidang
jauhi dan elakkan politik wang
perbuatan itu sungguh menjijikkan
maka pilihlah calon berkemampuan
yang bakal memimpin bangsa ke mercu kegemilangan
bukan yang menabur wang untuk kepentingan
tapi tidak berkebolehan dan berkemampuan.

Ketepikan kepentingan peribadi
atau agenda politik tertentu yang tersendiri
tersilap percaturan bencana yang bakal menanti
bangsa dan agama terus menjadi mangsa buli dan dengki.

Cukuplah memberi peluang kepada pemimpin yang sama
berkali-kali diberi kepercayaan masih tak berguna
nasib bangsa masih juga tak terbela
malah kepentingan diri yang lebih utama.

Sebagai pemilih bijaklah memilih
pilihlah intan terpilih
jangan tersilap pilih
nanti bangsa akan diperlekeh dan tersisih
tak berguna dikemudiannya kita bersedih.

Selamat bersidang bijak pandai UMNO
pedulikan apo orang nak kato
pilih yang terbaik jangan dilupo
untuk membelo nasib anak-anak bangso
semogo tak tertindas sampai bilo-bilo..!

-Sayang bangsa dan agama


Sabtu, 21 Mac 2009

ANTARA NAKHODA VS PRESIDEN

Datuk Nik Aziz Nik Mat kata dia nakhoda dalam Pas. Justeru beliau mengingatkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar berbincang dengannya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenai pembentukan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional.

Aduhai... siapa yang lebih berkuasa antara nakhoda dengan Presiden (ketua kapal)?.

Nampak sangat berebut-rebut nak berkuasa.

Satu lagi, kenalah faham. Haji Hadi baru memberikan cadangan. Bukannnya sudah membuat keputusan.

Macam mana nakhoda ni? Tak tahu nak bezakan antara dua yang berbeza itu?
Silap-silap terbabaslah kapal kalau nakhoda macam tu..!


UMNO DAN KREDIBILITI

Umno akan hilang kredibilitinya jika membenarkan orang yang didapati bersalah dalam politik wang bertanding pada pemilihan parti itu.

Demikian kata Tun Dr Mahathir Mohamad.


SPEAKER PERAK....

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia mendapati terdapat elemen salah guna kuasa oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V.Sivakumar dalam tindakannya melarang dan menggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abd. Kadir dan enam exco menghadiri sidang DUN pada 18 Februari lalu.

Jumaat, 20 Mac 2009

KAMBING HITAM VS KONSPRASI

Datuk Seri Mohd Ali Rustam bukan menjadi 'kambing hitam' yang terpaksa dikorbankan, berikutan tindakan Lembaga Disiplin ke atasnya. Begitu kata Datuk Seri Najib.

Timbalan Perdana Menteri itu yakin dengan tindakan yang dibuat oleh lembaga tersebut, dalam memastikan UMNO bebas dari sebarang unsur penyelewengan dan salah guna kuasa.

Bagi Mohd Ali pula, tak ada konspirasi dalam UMNO yang berkonspirasi untuk menjatuhkannya. Katanya, UMNO adalah parti yang bersih dan baik.

Z-MAY : Jadi para penyokong Mohd Ali Rustam kenalah terima kenyataan dan banyak bersabar. Ikutlah nasihat bos anda.

___________________________________________________

MELAYU PERLU MERENUNG DIRI

Pemimpin UMNO diminta merenung kembali idealisme perjuangan asal bagi mengukuhkan parti dan kedudukan orang Melayu di negara ini.

UMNO alpa dalam beberapa perkara utama perjuangan parti. Antaranya adalah fasal tiga UMNO yanga menyebut tentang raja-raja Melayu, Perlembagaan, Islam, Kebudayaan, keadilan sosial dan hubungan antara kaum.

"Hakikatnya, kita sudah alpa terhadap semua ini. Kita perlu kembali ke pangkal jalan tanpa bersifat apologetik yang membuatkan kita takut untuk mempertahankan hak sendiri," demikian kata Datuk Seri Rais Yatim.

Z-MAY : Soalnya, berapa ramai pemimpin dalam UMNO hari ini tahu apa itu yang disebutkan oleh Datuk Seri Rais itu, dan adakah mereka juga tahu apa tujuan sebenar mereka menyertai UMNO? Adakah sekadar untuk menjadi wakil rakyat dan seronok dipanggil YB?

Rabu, 18 Mac 2009

BERMOTIF POLITIK..?

Karpal Singh dakwa, tuduhan yang dihadapinya di mahkamah mengikut Akta Hasutan 1948, bermotifkan politik.

Beliau juga menyifatkan akta yang akan digunakan untuk mendakwa beliau telah ketinggalan zaman sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Z-MAY : Sebagai rakyat Malaysia sejati, aku dapati akta hasutan dan ISA amat perlu dan tidak ketinggalan zaman. Demi keamanan negara tercinta dan ketenteraman rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama.Hanya mereka tertentu saja yang takut akan akta-akta itu.

Ahad, 15 Mac 2009

MENJELANG PILIHAN RAYA KECIL

TIADA PROJEK MI SEGERA

Oh.., tiada lagi projek mi segera
setiap kali hadirnya pilihan raya
patutnya itu dah lama tak ada
sebab itu semua serba tak kena.

Baru kini otak pemimpin dah terbuka
selama ini tersalah dapat petua
dari penasihat dan orang yg dipercaya
atau orang sekeliling yang bermuka-muka.

Gula dihulur orang sapu
jangan pula buat tak tahu
kalau nak pilih kena fikir satu persatu
hanya rakyat sendiri yang lebih tahu
selera berbeza-beza tak menentu
tak bermakna selera itu merapu.

Selama ini projek mi segera rakyat tak hairan
rakyat tuduh itu semua umpan-umpanan
rakyat tak mahu dipergula-gulakan
walaupun ada yang ambil kesempatan
sampai tersedawa lantak kekenyangan.

Maka bila dah tahu rakyat punya pemikiran
tak payahlah buat benda yang bukan-bukan
berdirilah kita atas kebenaran
bila dah menang dapat kelebihan
barulah buat apa yang patut padan
pandai-pandailah rakyat menilaikan.

Pemimpin yang baik harus disokong
pasti mereka dapat menolong
jangan kita mudah terpesong
kemudian menyesal terpekik terlolong
kepada pemerintah juga yang diminta tolong
kerana tersalah pilih sudahnya melopong.

_____________________________________

CAMPURAN BN-PAS..?

Kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pas, tidak perlu, kata bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Alasan beliau, Pas punyai prinsip lain.

"Apa yang penting ialah kita semua buat benda baik, kalau ada kerajaan campuran tapi buat kerja tak baik, tidak ada gunanya juga.

"Walaupun BN tak bergabung dengan Pas, semua orang mengakui Malaysia berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik," tambah Tun Dr Mahathir lagi.

Z-MAY : Dalam UMNO sendiri ada pro dan kontra. Penyokong kedua-dua pihak macam mana?




Sabtu, 14 Mac 2009

SIAPA YANG MENGENA... DAN APA YANG TAK KENA?

Bingung juga difikirkan...

Apa tidaknya... sejak kebelakang ini bila ada seseorang ahli politik melakukan sesuatu yang agak pelik (sebab tak pernah berlaku sebelum ini), maka akan keluarlah kenyataan bijak pandai undang-undang atau orang politik sendiri bahawa apa yang dilakukan oleh Si Anu itu salah dari segi undang-undang ini, perlembagaan itu, begini dan begitu... begitu dan begini...

Namun keesokannya juga akan lahir pula ucapan dari orang-orang politik mengenai isu-isu sensitif, maka seperti biasa akan timbullah juga hujah-hujah dari orang bijak pandai bahawa kata-kata Si Anu itu boleh diambil tindakan mengikut undang-undang itu dan ini... ini dan itu...

Kemudannya ahli politik yang sama masih juga melakukan atau mengucapkan kata-kata yang tidak sepatutnya, maka hujah yang sama dari bijak pandai yang sama atau berlainan pasti akan berkumandang kononnya Si Anu itu telah melakukan kesalahan mengikut akta ini dan itu dan boleh diambil tindakan begini dan begitu ke atasnya.

Lalu aku pun bertanya; Undang-undang ini ada. Undang-undang itu juga ada. Bermacam-macam tindakan yang kononnya boleh diambil. Namun, dimanakah tindakannya? Apakah tindakannya?

Aku kekadang diselubungi dengan kepelikan dan keterharuan yang amat sangat dengan apa yang berlaku. Apakah sesuatu tindakan yang perlu diambil seharusnya ada pilihan? Mengikut kesesuaian dan keperluan? Atau berdasarkan siapa dan golongan mana yang melakukan kesalahan?

Atau ada golongan tertentu yang 'kononnya' kebal undang-undang, walaupun kita selama ini diuar-uarkan kononnya tiada sesiapa di bumi Malaysia tercinta ini kebal undang-undang... yang bersalah tetap bersalah dan perlu didakwa.

Dan aku terus tertanya-tanya, siapakah yang sepatutnya bertindak ke atas mereka ini? Kalau ada pihak-pihak tertentu yang sememangnya bertanggungjawab bertindak mengenai perkara itu, di manakaha mereka? Mengapa mereka membisu kata dan terkaku tindakan?

Oh.., aku semakin terharu dan terkeliru.... antara siapa yang mengena dan apa sebenarnya yang tak kena..?

Khamis, 12 Mac 2009

MELAYU PERLU SEDAR..!

Antara petikan ucapan Raja Dr. Nazrin Sultan Azlan Shah:

"Takrif bangsa Melayu telah diperkemas, diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama. Itulah kekuatan Melayu di bumi Malaysia."

"Dalam mengharungi gelombang globalisasi dan dalam menghadapi dinamik politik yang sedang berlaku di negara ini, bangsa Melayu berada di persimpangan jalan - bangsa Melayu menghadapi dua kemungkinan. Kemungkinan pertama, bangsa Melayu itu akan terus servive, berkembang dan kuat, serta dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global, atau kemungkinan kedua, barang dijauhkan Allah daripada berlaku, bahawa bangsa Melayu itu akan hanyut dalam gelombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar budaya dan tradisinya telah dicabut."

"Pemikiran, gaya hidup dan nilai-nilai budaya bangsa makin disisihkan. Akhirnya Melayu itu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama."

Z-MAY : Tidak mustahil Melayu akan menjadi lemah sedikit demi sedikit dan seterusnya akan pupus, jika dilihat situasi kini dan masih belum ada kesedaran jitu di kalangan sebilangan Melayu. Itulah yang diidam-idamkan pihak-pihak tertentu, dengan menggunakan Melayu sendiri untuk memainkan peranan memupuskan Melayu. Maka sedarlah Melayu..!!!

_________________________________________________

"Tindakan itu (keluar dewan oleh pembangkang) adalah modus operandi biasa pembangkang untuk mewujudkan persepsi di kalangan rakyat bahawa apa jua dilakukan kerajaan tidak betul. Tindakan itu tidak menghairankan kerana pembangkang sudah tentu tidak mahu hilang pengaruh jika mengakui tindakan kerajaan adalah betul.
Mungkin juga mereka terkejut dengan bajet mini itu kerana fokusnya berada di landasan yang betul, sebab itu hari ini perbahasan mereka tidak tertumpu kepada mini bajet." - Datuk Ibrahim Ali (Bebas Pasir Mas).

____________________________________________________


Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan tiga syarat untuk pembangkang bekerjasama dengan kerajaan Barisan nasional bagi membantu memulihkan kegawatan ekonomi negara. Syarat-syaratnya ialah, kerajaan bersedia mengkaji semula perjanjian konsesi lebuh raya, pengeluaran tenaga bebas (IPP) dan pengswastaan bekalan air.

Beliau juga menuntut kerajaan menghentikan kezaliman dan fitnah melalui media massa serta membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Z-MAY : Setujukah kerajaan BN dengan tuntutan yang berselindung di sebalik menangguk di air keruh itu?

Rabu, 4 Mac 2009

APA HALNYA NI..?

Walaupun tak dibenarkan bersidang dalam dewan, di bawah pokok rendang pun jadi juga?

Tak apalah, bawah pokok ke, atas pokok ke, kalau perlu, bawah jambatan ke, atas jambatan ke... asalkan masing-masing telah berpuas hati.

Maka, hajat nak bersidang sudah kesampaian. Hasrat nak luahkan agenda yang terpendam juga turut tertunaikan. Halal haram dipinggir dan diketepikan. Kepuasan hati menjadi keutamaan.

Yang peliknya, kalau sudah tahu perbuatan itu tak sah, kenapa dibiarkan juga?
Siapakah yang berhak menghalangnya? Di manakah pihak-pihak yang ada kuasa itu? Sehingga begitu sekali membiarkan mertabat negara ini tercalar di mata dunia?

Sungguh memalukan. Apa ke halnya ni..?


UMNO TEMPANG..?

"... mereka yang melabelkan UMNO tempang dari segi demokrasi adalah pihak yang sememangnya tidak akan mengakui kebaikan lawannya," begitu kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam rancangan Hujah di TV9.

Masih boleh diterima kalau UMNO tidak tempang dari segi demokrasi.

Tapi UMNO mungkin agak tempang dan cacat setiap pergerakannya pada pandangan orang Melayu- dan mereka telah merealisasikannya melalui PRU 12 yang lalu. Mungkin masih belum pulih sehingga kini.

Kenapa terjadi begitu? Adakah kerana ia telah ditempangkan atau dicacatkan oleh sebilangan orang yang berada di dalamnya? Ibarat kata bidalan, 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'. Dan kerana itulah ia kian dijauhi oleh orang Melayu sendiri?

Mungkin itulah kecacatannya di mata rakyat Melayu. Kecacatan yang sepatutnya orang-orang UMNO sendiri harus sedar dan mengetahui akan puncanya, jika ingin memulihkan kepercayaan Melayu diraihkan kembali.

Siapakah sebenarnya yang merosakkan UMNO sehingga parti yang berasaskan Melayu yang tidak berdosa itu dibenci sedemikian rupa oleh orang Melayu sendiri, terutamanya golongan muda?

Mungkinkah juga disebabkan adanya duri dalam daging atau musuh dalam selimut, yang sedikit sebanyak menyebabkan UMNO menjadi tempang dan cacat di mata Melayu?

Saya percaya, mereka yang membenci UMNO, bukan kerana UMNO. Tapi kerana sebilangan orang yang berada di dalamnya yang tidak menyenangkan hati mereka. Ibarat kalau seseorang itu tidak ada selera nak makan nasi, bukanlah kerana nasi itu yang tidak disukainya, mungkin kerana lauk-pauk yang dihidangkan bersama nasi itu yang tidak sedap atau tidak membukakan selera untuk menjamahnya.

Ahad, 1 Mac 2009

TOL... TOL..! OH.., TOL LAGI..!

Tol - ada yang turun, tiba-tiba ada pula yang nak dinaikkan. Mujur tak jadi sebab dibatalkan oleh Perdana Menteri.

Apa yang kena sebenarnya?

Kalau ikut kenyataan, ada tol yang sudah banyak kaut keuntungan dan sudah melebihi pulangan modal. Tapi kenapa tol masih dikenakan lagi. Dan yang peliknya masih mahu dinaikkan lagi.

Mungkin itu tak salah pengendali tol. Sebab mereka tuntut apa yang terkandung dalam perjanjian.

Semasa buat perjanjian, yang membabitkan orang yang mewakili kerajaan dengan pengendali tol, apa yang tak kena sebenarnya? Yang begitu menguntungkan pengendali tol?

Mungkin semasa buat perjanjian, kenderaan yang melalui lebuh raya bertol itu sekadar 100 buah saja. Tapi dalam masa berpuluh tahun, takkan jumlah kenderaan yang melaluinya sama juga. Mestilah semakin bertambah. Mungkin itu yg terlepas pandang semasa buat perjanjian.
Dan ikut sekadar teklahan aku saja. Maaflah kalau tak benar.

Dan walau apa-pun, aku sokong desakan dan gesaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya dibatalkan saja perjanjian konsesi lebuh raya, jika kerajaan ada kuasa berbuat demikian sebagaimana yang dinyata oleh NGO-NGO tersebut.

Atau fikirkan cara lain untuk mengelak rakyat daripada terus berhadapan dengan masalah tol itu.

Bukankah lebuh raya itu adalah antara kemudahan awam yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan kepada rakyat.

Cukup-cukuplah rakyat dibebani dengan permasalahan yang tidak sepatutnya menjadi masalah. Selain tol, termasuk juga kenaikan harga barangan keperluan harian yang merimas dan memberi kesan perberlanjaan mereka.

Dalam masa yang sama, rakyat tak masa nak fikirkan GLC itu rugi berjuta-juta. Atau GLC itu pula untung berbilion-bilon. Kerana semua itu tidak menempiaskan faedah kepada mereka.

Rakyat juga agak sukar untuk menerima sesuatu produk baru buatan negara sendiri, seandainya produk yang dikeluarkan itu masih tidak termampu untuk dimiliki oleh rakyat yang berkebanyakan.

Ahli-ahli politik yang diberi kepercayaan oleh rakyat seharusnya sentiasa memainkan peranan untuk meringankan beban rakyat. Jangan berterusan membiarkan rakyat terseksa dengan keadaan semasa. Usahlah asyik berpolitik terutama isu-isu remeh-temeh dan isu-isu yang berkepentingan parti dan peribadi semata-mata.

Ingatlah.., rakyat yang berkuasa memilih siapakah pemimpin untuk masa depan mereka. Andainya ada antara ahli politik yang tersilap percaturan, yang membuatkan mereka tidak diterima rakyat, bersedialah untuk menerima padahnya.

Jadi, mainlah peranan masing-masing untuk perkara yang memberikan kebaiakn dan kesempurnaan kepada rakyat. Kerana rakyat berhak memiliknya dalam sebuah negara yang merdeka lagi demokrasi.