Dilaporkan seramai 236 lulusan bidang perubatan yang menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian di luar negara.
Tenaga profesional itu sebaliknya bertindak untuk berkhidmat di luar negara berikutan tawaran gajinya yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.
Apa hal doktor? Beginikah sikap manusia profesional? Yang tidak tahu mengenang budi mementingkan diri sendiri?
Isu doktor yang tamat pengajian di luar negara dan tak mahu pulang ke Malaysia kerana memburu gaji yang lebih lumayan, walaupun mereka mendapat biasiswa kerajaan memang sudah lama.
Apakah pihak berwajib sekadar mengeluh dan membuat kenyataan saja, sedangkan tiada tindakan susulan yang sesuai mengikut perjanjian terhadap mereka yang 'menderhaka' itu?
Hampir RM1 juta bagi menyara setiap seorang untuk bergelar doktor bukanlah satu perbelanjaan yang kecil. Tetapi begitu mudah sekali mereka itu memperkecilkan hasrat kerajaan dan rakyat.
Seharusnya tindakan sewajarnya perlu diambil, sama ada ke atas keluarga atau penjamin mereka.
Kerajaan seharusnya tidak memandang remeh atau tutup sebelah mata, walaupun yang terlibat itu mungkin ramai anak-anak orang ternama termasuk anak-anak menteri, timbalan menteri atau pegawai-pegawai kanan kerajaan sendiri. Bertindak seharusnya tidak memilih bulu. Mereka yang salah harus dihukum.
Bertindaklah atas kewajaran agar isu sebegini tidak diperlekehkan oleh 'doktor-doktor' yang hipokrit yang tidak mengenang budi dan tidak mahu memikirkan masalah orang lain kerana keegoan tersendiri, sedangkan mereka bergelar doktor kerana perbelanjaan duit rakyat.
Sekali lagi ditekankan, kerajaan seharusnya bertindak. Cari dan buru mereka, keluarga mereka dan penjamin mereka.
Doktor-doktor sebegitu tidak seharusnya dibiarkan bersenang lenang di atas kesusahan dan keikhlasan hati orang lain. Buru dan kejar mereka walaupun hingga ke lubang cacing.
Jika ada kelemahan dari segi perjanjian antara peminjam dan kerajaan yang sedia ada, dan jika ia perlu diubah supaya lebih efsien demi kepentingan rakyat dan kerajaan yang mengeluarkan biasiswa untuk mereka, pindalah dengan segera agar perkara yang sama tidak berulang dan peminjam tidak menganggapnya sebagai enteng.
Bagi doktor-doktor yang terlibat, insaflah dengan sikap anda. Tepuk dada dan tanyalah kewarasan fikiran anda. Jadilah manusia yang tahu mengenang budi dan jasa. Jangan jadikan diri anda sebagai manusia hipokrit yang dilaknat dan dibenci.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan