Khamis, 28 Mei 2009

CHIN PENG - ISU MERAIH SOKONGAN POLITIK?

Majoriti rakyat sebenarnya tidak setuju jika Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia, terutama bekas pejuang yang terpaksa bertarung nyawa mempertahankan negara, dan ada antara mereka yang masih hidup dengan menanggung kecacatan sepanjang hayat, serta mereka yang berkait secara langsung tentang kekejaman komunis.

Chin Peng - ketua Parti Komunis Malaya yang penuh dengan keganasan dan kekejaman, membuatkan rakyat sentiasa hidup dalam huru-hara dan ketakutan. Malah orang awam tidak terkecuali menjadi mangsa kezalimannya.

Namun tentu ada yang tidak senang bila beberapa pemimpin pembangkang (Melayu) yang setuju andainya bekas ketua komunis itu dibenarkan pulang dengan alasan-alasan tertentu.

Walaupun apa alasannya, saranan dan sokongan pemimpin Melayu pembangkang itu dilihat sengaja meraih sokongan politik berkaitan isu itu, yang sebenarnya telah mengguriskan hati banyak pihak, terutama Melayu.

Cuba direnungkan sejenak. Apakah untungnya Chin Peng kepada negara, jika dia dibawa pulang? Rasanya tiada keistimewaan apa-apa.

Jika dibenarkan juga dia pulang, apa yang nyata ia bukan sekadar luka lama berdarah kembali, malah ia sebagai satu penghinaan kepada para pejuang yang pernah mempertahankan kedaulatan negara.

Namun memang telah diketahui umum, bagi mereka yang berkepentingan politik murahan, itu semua tidak penting.

Apa saja yang mendatangkan kepentingan politik mereka, sekalipun mengguris dan menyakiti hati bangsa sendiri, langsung tidak diambil peduli.

Dan isu yang mengguriskan hati bangsa itu bukanlah yang pertama kali. Malah rasanya sudah tidak terhitung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan