PERLUKAH BN MENGALAH DAN BERKORBAN..?
Semua akhbar pembangkang dan hampir kesemua akhbar Cina menyalahkan Barisan Nasional (BN) dengan kemelut politik di Perak yang berterusan itu.
Petikan dari akhbar Cina yang berbunyi; "Untuk mempertahankan kuasa kerajaan negeri itu (Perak), BN melakukan satu kesalahan besar. Walaupun kewangan BN sangat kukuh, apakah ia terus menerus membiarkannya terbuang begitu sahaja? Sehingga semakin parah, sukar mahu diselamatkan lagi?
"Kuasa pemerintahan negeri Perak memang sayang nak dilepaskan, tapi pengorbanan yang tinggi terpaksa dicurahkan. Apatah lagi pihak lawan juga terlalu banyak menghabiskan duit kita.
"BN menanggung begitu berat beban tapi tak mahu melepaskannya, akhirnya mungkinkan ia menjadi gejala buruk yang akan mengancam kerajaan pusat?"
Persoalannya, kenapa BN yang mesti dipersalahkan dan seharusnya berkorban untuk mengembalikan kejernihan politik di Perak? Kenapa tiada cadangan supaya pihak pembangkang juga perlu menginsafi diri dengan keputusan majoriti yang sudah pun berpihak kepada BN?
BN bukan saja layak dari segi majoriti, malah terlalu layak dari segi kemampuan tenaga wakil rakyatnya, pun begitu juga dengan kemampuan kewangan.
Kalau pembangkang yang memerintahkan pun, apa kemampuan wakil rakyat mereka? Sudahnya kerajaan pusat juga yang kena bantu.
Apa-apa pun, kemelut yang semakin melalut itu perlu diselesaikan segera demi kepentingan rakyat dan negara keseluruhannya. Malah ia tidak seharusnya berterusan dengan politik berbalas-balas yang menjadi 'bahan uji-kaji sebagai satu perkara baru yang unik' di mata mahkamah.
Maka perihal demokrasi yang sudah tercemar serta tercalar dan institusi raja-raja yang turut tercabar kerana keghairahan pihak tertentu untuk menunjukkan kuasa dan terus berdegil itu, perlu dipulihkan kembali.
Dengan itu, peruntukan-peruntukan tertentu dalam perlembagaan yang berkaitan undang-undang perihal pelantikan dan pelucutan jawatan Menteri Besar yang sudah jelas dan nyata itu harus menjadi panduan pihak-pihak terlibat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan